Zoom Malaysia : Cameron Highlands

Kesempatan cuti Tahun Baru Cina (26 dan 27 Januari 2009) diluangkan dengan mengunjungi Cameron Highlands (CH). Rasanya kali terakhir ke sini adalah kira-kira 8 tahun yang lalu. Kali ini, perjalanan ke sana adalah melalui jalan Simpang Pulai-Pos Slim – CH. Boleh tahan jugalah jalannya. Namun, ianya masih baik daripada jalan Tapah – CH.

Nampaknya, kemeriahan terasa di CH kali ini berikutan ramainya orang mengambil kesempatan bercuti di CH. Memang agak sukar bergerak bebas (walaupun berkereta) kerana trafik yg sesak dan jalan yang boleh tahan sempitnya, haha. Kali ini, kehadiranku ke CH bersama 3 lagi rakan baik disambut dengan kemeriahan orang-orang yang turut bercuti di sini. Memang menyeronokkan tengok gelagat orang di CH. Lebih dramatik, hotel penginapan kali ini (di Brinchang), juga adalah di hotel yang sama kira-kira 8 tahun lalu. Ha ha.


Semua orang akui CH terkenal dengan teh, bunga dan strawberi. Maka, kesempatan kali ini diisi dengan mengunjungi Rose Centre, Ladang Teh Boh, Bharat, Cactus Valley, Strawberry Park dan gerai-gerai bunga, strawberi serta barang2 berasaskan CH (t-shirt, key-chain dsbnya), pasar malam di sekitar Brincang, Kea Farm dan Tanah Rata. Memang seronok melihat kemeriahan di CH walaupun memang masa terhad dan jalan raya yang bersusun dengan kenderaan.


Sebenarnya, perkara yang ditunggu oleh ku dalam kehadiran ke CH kali ini adalah melawat Boh Tea Centre di Sungai Palas. Sedikit fakta mengenai Boh di CH: Sungai Palas menempatkan Tea Centre yang mengandungi dewan pameran, kedai cenderamata dan kedai Teh. Pusat ini dibuka pada tahun 2007. Di sini, pengunjung boleh juga melihat bagaimana daun teh diproses sehingga menjadi teh. Kilang yang terdapat di sini dibuka untuk dilawat oleh pengunjung. Permandangan di sekitar ladang teh Boh Sungai Palas ni memang mengasyikkan dan amat mesra kepada jurugambar (hahaha). Jangan lupa untuk bergambar dan bergambar dan bergambar lagi.


Di samping itu, silalah minum teh di kafe dia yang terus menghadap ladang teh. Reka bentuk pusat teh di sini memang menarik dari segi pembinaannya (Rujuk Gambar). Pada ketinggian lebih 1,500 meter, suasana di sini memang damai, tenang dan dingin. Itulah serba sedikit mengenai Sungai Palas dan Boh Tea Gardens. Oh ya, tidak dilupa, jalan nak sampai ke Pusat ni memang berliku-liku (muat untuk satu kenderaan bagi sehala) – tapi permandangannya memang ‘stunning’ dan ‘spectacular’.


Setelah penat bergambar sana sini di sekitar CH, maka, aku pulang semula ke ibu kota dengan harapan untuk kembali lagi ke CH di masa akan datang.